Saturday, January 3, 2009

Lima ditahan, dadah RM68,000 dirampas

ARKIB : 03/01/2009

Lima ditahan, dadah RM68,000 dirampas

KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Polis Terengganu menahan lima lelaki berumur 22 dan 37 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM68,000 dalam beberapa kejadian berasingan sepanjang bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abdul Wahid berkata, suspek pertama ditahan di hadapan sebuah kedai 24 jam di Jalan Pasir Panjang di sini pada 16 Disember lalu.

“Polis merampas 398 biji pil kuda seberat 39.3 gram bernilai RM20,000 daripada lelaki berusia 22 tahun itu.

“Suspek bergelut dengan beberapa anggota polis yang cuba menahannya ketika dia cuba melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Roslan berkata, suspek kedua yang bekerja sebagai buruh berusia 37 tahun pula ditangkap di Kampung Pasir Tinggi, Telemong, Hulu Terengganu pada 22 Disember lalu.

“Tangkapan ini membolehkan polis menemui 10 botol heroin yang dianggarkan bernilai RM15,000.

“Suspek pernah mempunyai rekod jenayah iaitu mencuri rantai emas ibunya untuk digunakan bagi membeli dadah,” ujarnya.

Roslan menambah, polis menemui heroin seberat 35.6 gram yang dianggarkan bernilai RM8,000 dalam serbuan di Kampung Penunjuk, Kijal, Kemaman semalam.

“Dadah yang dibungkus di dalam enam peket plastik itu dirampas daripada dua adik beradik lelaki berumur 23 dan 30 tahun yang bekerja di sebuah kilang,” tambahnya.

Sementara itu, katanya, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan bersama 591 biji pil kuda bernilai RM25,000 di Kampung Jerteh, Besut pada 27 Disember lalu.