Sunday, June 21, 2009

15,000 penagih sedang dirawat


KUALA TERENGGANU – Kira-kira 15,000 penagih dadah di negara ini sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), termasuk 1,000 orang dari Terengganu.

Ketua Penolong Pengarah AADK, Wan Adenan Wan Mohd Nor berkata, secara umumnya, jumlah penyalahgunaan dadah paling tinggi berlaku di negeri sebelah utara di samping bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, sebaliknya, Terengganu berada pada tempat antara kesembilan dan 11 dalam kedudukan tersebut berbanding negeri lain di samping Kelantan yang tidak membimbangkan berikutan negeri itu hanya transit untuk pengedaran dadah ke kota metropolitan dan juga negeri sebelah utara.

“Di negeri ini, 62 orang ditangkap dalam tempoh Januari hingga Mac di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283),” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Program Gempur Dadah di Kampung Pengadang Baru, semalam.

Mengulas lanjut, Wan Adenan memberitahu, trend terkini penyalahgunaan dadah lebih tertumpu kepada dadah rangsangan seperti syabu dan pil kuda dengan peningkatan lima peratus.

“Bagaimanapun, penggunaan dadah tradisi seperti morfin dan heroin semakin menurun tetapi yang kita takut ialah penggunaan syabu yang boleh membawa kepada gila dan kerosakan mental. Ini trend remaja kita,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, pihaknya akan menjejak penagih dadah termasuk di tempat kerja dalam proses mengembalikan golongan itu kepada masyarakat melalui fasa kedua.

Menurut beliau, komuniti Bebas Dadah di Tempat Kerja merupakan empat strategi AADK selain Komuniti Bebas Dadah, Keluarga Bebas Dadah dan Institusi Bebas Dadah menekankan teknik pujukan kepada golongan penagih supaya tidak menggunakan dadah selain meminta mereka menyerah diri ke pusat pemulihan.

“Mereka (yang bekerja) terlibat dengan dadah ini lebih daripada 75 peratus. Bagi AADK sendiri ada penguatkuasaan dan kita akan ke fasa kedua, bukan guna untuk tangkap mereka tetapi memujuk,” katanya.

AADK menyediakan 12 program melalui Komuniti Bebas Dadah antaranya Gempur Dadah, Hidayah (sambutan hari kebesaran Islam), Remaja Antidadah (Rada) khusus untuk 15 tahun ke atas dan Masyarakat Wanita Antidadah (Mawardah).

Beliau berkata, ketika ini pihaknya meneruskan fasa pertama melalui Program Jejak untuk mencari semula mereka yang tidak melapor diri selepas keluar dari pusat serenti dan penjara.

Anggota polis menunjukkan seni bela diri pada pada Majlis Penutup Program Gempur Dadah, semalam. - Sinar

Kisah silam terbongkar

KUALA TERENGGANU: Akibat terlalu ghairah melayani tuntutan nafsunya, seorang ibu terpaksa menanggung aib apabila rahsia perbuatan terkutuk masa silamnya didedahkan kepada suami dan penduduk kampung oleh seorang bekas ‘pelanggannya’.

Lebih menyedihkan, dia turut ditinggalkan suaminya selepas bertengkar beberapa hari mengenai perkara itu dan tidak berpeluang meminta ampun daripada ayah kepada dua anaknya.

Wanita itu yang menemui Metro Ahad memberitahu, kejadian yang menimpa dirinya diharapkan menjadi teladan kepada wanita yang mungkin senasib dengannya.

Ibu kepada lima anak itu yang lebih mesra dipanggil Kak Yan, 39, berkata sehingga kini dia sering menerima cemuhan dan malu kepada masyarakat angkara perbuatan silamnya yang kini terus menghantuinya selepas sejarah hitamnya dihebahkan.

Menurutnya, selepas gagal mempertahankan rumah tangga dengan suami pertamanya 13 tahun lalu, dia berpisah dan meninggalkan tiga anak kepada bekas suaminya bertujuan mencari rezeki di bandar.

Katanya, selepas kehabisan wang membayar deposit rumah flat yang disewa, dia berkenalan dengan seorang lelaki berusia 30-an yang menawarkan diri untuk membantunya mencari pekerjaan di bandar ini.

“Dia (lelaki berkenaan) berjaya mendapatkan kerja sebagai tukang cuci di sebuah kedai makan untuk saya, malah dia juga berjanji akan membantu apa saja yang saya perlukan sepanjang dua minggu kami perkenalan.

“Tiga hari sebelum berpisah, kami sempat berbual di tangga rumah selepas pulang daripada bekerja kira-kira 1 pagi dan dia tersenyum sambil membisikkan sesuatu ke arah telinga saya.

“Meremang bulu roma apabila dia mengatakan mengingini tubuh saya sebagai pembalasan semua budi yang diberi sepanjang perkenalan kami,” katanya.

Kak Yan berkata, selepas beberapa lama dipujuk, dia akhirnya tewas di pangkuan lelaki itu dan ‘kesunyian’ yang selama ini dirasakannya terubat seketika.

Menurutnya, dia menjadi ‘ketagih’ selepas berpisah dengan lelaki berkenaan dan nekad membuat keputusan memakai alat pencegah kehamilan bagi menjaja tubuh kepada lelaki di sekitar bandar demi memuaskan tuntutan batinnya.

“Perbuatan terkutuk ini berlaku hampir tiga tahun dan tempat seperti tangga, bangunan terbengkalai dan banyak lagi menjadi lokasi saya melakukan seks untuk mencari sesuap nasi.

“Selepas tiga tahun menjanda, saya berkahwin dengan seorang duda dan mendapat dua cahaya mata, malah ketika itu saya merasakan perbuatan terkutuk saya selama ini dapat dirahsiakan daripada pengetahuan suami.

“Bagaimanapun, kebahagiaan kami diragut oleh seorang lelaki yang pernah menjadi pelanggan saya apabila dia memberitahu semua perbuatan saya 10 tahun lalu kepada seorang warisnya dalam satu majlis perkahwinan yang diadakan di kampung kami.

“Waris lelaki berkenaan pula berjumpa seorang saudara saya sebelum ‘cerita panas’ itu mula tersebar dalam keluarga suami yang mereka melihat saya sebagai pelacur,” katanya menangis teresak-esak sambil memeluk erat dua anaknya.

Menyesali perbuatan silamnya, wanita itu berkata, selepas beberapa hari ‘rahsia’ itu disimpan oleh adik ipar, akhirnya ia sampai ke telinga suami, menyebabkan pertengkaran tercetus.

Menurutnya, dia masih menunggu kepulangan suami untuk meminta ampun. HMetro

Friday, June 19, 2009

Kesal perhentian bas, teksi tiada surau

PERMAISURI - Orang ramai terutama pengguna pengangkutan awam di Perhentian Bas dan Teksi Bandar Permaisuri di sini, mengalami kesukaran apabila pihak Majlis Daerah Setiu (MDS) tidak menyediakan kemudahan surau di situ sejak ia mula beroperasi awal tahun ini.

Rata-rata pengguna berpendapat, kemudahan itu perlu diadakan kerana ia bukan sahaja untuk keselesaan mereka, tetapi juga demi imej positif kepada pihak berkuasa tempatan di daerah ini dan mereka berharap perubahan dapat dilakukan dengan segera.

“Walaupun baru dibuka, masih banyak yang perlu diadakan di sini seperti menambah ruang menunggu, perkhidmatan tandas awam lebih teratur dan paling utama adalah ke-mudahan surau,” kata Kamarudin Muda, 41, ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.

Kata pengguna dari Hulu Seladang ini, keselesaan pengguna perlu diambil kira dan penyediaan perhentian bas yang cantik, bersih serta lengkap bukan sahaja menepati kehendak orang awam, malah memberikan imej positif kepada PBT di daerah itu.

Menurutnya, MDS perlu berinisiatif untuk membina surau kerana sebagai pengguna dia sedih melihat orang ramai terpaksa menunaikan solat di tempat lain termasuk terpaksa berjalan ke masjid yang terlatak kira-kira 200 meter dari situ.

Sementara itu, seorang peniaga yang baru menjalankan perniagaan di situ awal minggu ini, Nurul Aini Ismail, 23, pula melihat isu ketiadaan kemudahan surau sebagai masalah yang perlu diberikan perhatian dan diselesaikan segera.

”Adalah lebih baik pihak berkenaan menyediakan kemudahan itu.

“Sekurang-kurangnya pengguna tidak terlepas bas semasa bersolat di surau berdekatan termasuk di Masjid Bandar Permaisuri sejauh 200 meter dari sini,” katanya.

Sinar Harian menghubungi Setiausaha Yang Dipertua MDS, Anuar Nik Mohd Noor bagi mendapatkan jawapan dan beliau menjelaskan, pihak MDS sudah mengenal pasti tapak bagi membina kemudahan itu dan projek itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Sinar

RM61 juta pastikan kemiskinan tegar sifar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memperuntukkan dana bantuan sebanyak RM61 juta untuk pelbagai jenis bantuan kemiskinan kepada rakyat Terengganu sepanjang tahun ini.:

:Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Mat Razali Kassim berkata, selain keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan miskin, bantuan tersebut selari dalam memastikan sasaran kemiskinan tegar sifar tahun depan.

Sehingga kini, seramai 721 buah keluarga di negeri ini diberi bantuan dengan jumlah RM1.36 juta sejak 2008 dalam usaha menurunkan kadar kemiskinan isi rumah kepada 2.8 peratus.

“Seramai 256 permohonan baru sedang diproses dan ini menambahkan bilangan bantuan terhadap golongan miskin,” katanya ketika berucap di Majlis Penyaluran Bantuan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, di Dewan Tunku Abdul Rahman, semalam.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan jumlah bantuan bernilai RM73,068 kepada kira-kira 103 keluarga miskin yang layak di bawah program tersebut.

Selain itu, beliau menjelaskan, kerajaan juga telah mengeluarkan peruntukkan kira-kira RM400,000 untuk bantuan persekolahan dan sewa rumah kepada kira-kira 258 buah keluarga.

“Yang layak akan dibantu selaras dengan 1Malaysia dan kerajaan sanggup membela rakyat yang miskin bagi memastikan tahun 2010 kemiskinan tegar sifar. Kita masih ada enam bulan lagi,” katanya.

Mat Razali turut mengharapkan golongan yang diberi bantuan terutama modal perniagaan berusaha untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi masing-masing bagi menikmati kehidupan lebih selesa pada masa depan.Sinar

Sikap 'tak apalah' punca rakyat Terengganu miskin

KUALA TERENGGANU 18 Jun - Sikap 'tak apalah' yang masih menghantui pemikiran segelintir rakyat di negeri ini dikenalpasti sebagai salah satu punca isu kemiskinan di Terengganu masih belum mencapai penyelesaian meskipun pelbagai program dilakukan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim berkata, dalam menghadapi era globalisasi sekarang, mereka seharusnya mengubah sikap dengan berusaha mengejar kemajuan dan bukannya semata-mata menyerah bulat-bulat kepada takdir.

Beliau berkata, sikap 'tak apalah' sebenarnya bererti mereka menyerah bulat-bulat kepada takdir, sikap ini mesti diubah jika mahu berjaya,

''Jika semua masyarakat kata 'tak apalah' jika miskin, tak payahlah berusaha kerana ini takdir, maka selama itulah kehidupan mereka tidak akan berubah," katanya semasa berucap merasmikan majlis penyaluran bantuan Program Pembasmian Keluarga Bandar (PPKB) 2009 di Dewan Tunku Abd Rahman di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan sumbangan RM73,068 kepada Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Toh Puan Zaimah Ab. Aziz bagi bayaran sewa rumah kepada 103 orang yang menghuni Perumahan Desa Keluarga di Chendering.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mat Razali berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM714,658 untuk pelbagai bantuan membabitkan sebanyak 362 penerima di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) tahun ini.

Katanya, antara bentuk bantuan ditawarkan termasuklah bantuan sewa rumah, bantuan persekolahan, pengangkutan kerja dan sekolah.

''Sejak program itu diperkenalkan sebanyak 593 permohonan diterima manakala jumlah peruntukan diluluskan sehingga akhir tahun lalu adalah sebanyak 359 ketua isi rumah," katanya. - Utusan

Tuesday, June 16, 2009

9 beranak daif sering berlapar

KUALA TERENGGANU: “Ada kala saya dan keluarga tidak makan beberapa hari kerana tidak mempunyai wang belanja,” kata Hamdan Mohd Zin, 47, yang hidup dalam kedaifan di Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini.

Menurutnya, dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung kepada hasil mengutip bahan buangan seperti tin, besi buruk dan kotak kira-kira RM300 sebulan untuk menyara tujuh anak berusia antara tiga bulan hingga 12 tahun.

Katanya, dia turut mengalami masalah sakit belakang selepas terbabit kemalangan beberapa tahun lalu menyebabkannya sukar melakukan kerja berat.

Dia berkata, empat anaknya masih bersekolah dan kadang-kala terpaksa ponteng berikutan tidak mempunyai wang untuk membayar tambang bas.

“Pernah kami sekeluarga tidak makan beberapa hari hinggalah saya keluar bekerja untuk mendapatkan wang membeli makanan.“Kami sekeluarga tidak pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Menurutnya, rumah seluas kira-kira 40 kaki persegi dan tidak mempunyai bilik tidur dan bilik air itu dibina hasil ihsan penduduk kampung yang mengutip derma.

Katanya, keluarganya berharap ada pihak sudi menyalurkan bantuan kepadanya.

Isterinya, Zaharah Ismail, 43, berkata rumah mereka yang tidak bertingkap dan sempit mengundang ketidakselesaan kerana ahli keluarga yang ramai serta sukar untuk anak-anak mengulang kaji pelajaran.

Menurutnya, jika terlalu terdesak, dia dan suami menebalkan muka meminjam wang di rumah jiran dan jika dapat baru boleh menjamah makanan.

“Saya kasihankan anak-anak tinggal di rumah yang tidak mempunyai bilik, bilik air dan tingkap,” katanya yang menumpang di rumah saudara terdekat untuk mandi dan membuang air.

Monday, June 15, 2009

Pesta Pantai diwujud semula

MENGABANG TELIPOT - Setelah lima tahun ‘menyepi’ akhirnya Pesta Pantai sempena Temasya Hari Keluarga Padang Kemunting 2009 kembali lagi dan seperti kebiasaannya, program penuh tradisi itu diadakan di Pantai Tanjung Gelam, di sini.

Menurut ketua penganjur, Ahmad Abu Bakar, 56, penganjuran yang sebelum ini diadakan setiap tahun terpaksa ‘dihentikan’ kira-kira lima tahun lalu berikutan beberapa faktor yang tidak dapat diatasi.

“Kali ini (2009) merupakan lembaran baru bagi kami untuk terus mengekalkan penganjuran aktiviti tradisi warisan ini serta diharap me-ngubah persepsi segelintir pihak yang menganggap ia sebagai aktiviti tidak sihat.

“Sebaliknya kita perlu mengambil perkara ini daripada sudut positif, di mana kita memperkenalkan kembali aktiviti yang penuh dengan nilai kerjasama dan memperkukuhkan hubungan masyarakat ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Menurut Ahmad, kesemua kira-kira 500 peserta yang terlibat dalam program itu juga turut tinggal di kawasan pesta berkenaan sehingga program selesai.

Mereka juga membina bangsal sementara yang dibuat daripada daun kelapa sebagai tempat tinggal.

“Kesemua peserta dari kampung ini (Padang Kemunting) perlu hadir bersama keluarga. Dengan cara ini, secara tidak langsung mampu memperkukuhkan hubungan bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, tetapi juga penduduk sekitar.

“Malah, kita turut mengamalkan cara kehidupan seperti masyarakat terdahulu yang serba kekurangan bagi mengajar generasi muda mengenai kesusahan hidup dan apa yang perlu dilakukan untuk sentiasa mengekalkan hu-bungan baik sesama jiran tetangga,” katanya.

Beliau berharap agar pesta yang menjadi identiti masyarakat di negeri ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Pengunjung berpeluang menyaksikan permainan sukan rakyat, persembahan dikir barat dan wayang kulit yang sememangnya cukup sinonim dalam masyarakat Melayu sepanjang program berlangsung.Sinar

Pantai Timur HIV/Aids tertinggi

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH
utusanterengganu@utusan.com.my


Tuanku Nur Zahirah ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 14 Jun - Negeri-negeri di Pantai Timur mencatatkan kes HIV/Aids tertinggi di negara ini dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas.

Kelantan, Pahang dan Terengganu menduduki senarai lima negeri teratas dalam kes jangkitan penyakit itu dalam tempoh berkenaan.

Kes HIV/Aids paling tinggi dicatatkan ialah di Kelantan iaitu 346 kes diikuti Johor (269), Selangor (223), Pahang (166) dan Terengganu (140).

Ini diikuti Kedah (117), Wilayah Persekutuan (70), Perak (71), Sarawak (84), Sabah (55), Melaka (37) dan Perlis (27).

Angka ini didedahkan oleh Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah, Tunku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim dalam kertas kerja bertajuk Kesedaran HIV/AIDS.

Kertas kerja itu dibentangkan pada Persidangan Pesuruhjaya Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di sebuah hotel di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Menurutnya, beberapa perkara dikesan sebagai faktor utama jangkitan HIV/Aids antaranya penempatan berhampiran sempadan dan kewujudan banyak industri perkilangan

Kertas kerja itu menyebut, mereka yang dikenal pasti dijangkiti HIV/Aids ialah yang bekerja sebagai nelayan dan terlibat dalam industri perkilangan serta mereka yang bekerja dalam sektor swasta.

Beliau berkata, mereka yang dijangkit HIV/Aids tidak mempunyai suara dalam masyarakat dan menjadi mangsa stigma serta diskriminasi sehingga memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain.

''Golongan berkenaan memerlukan sokongan untuk mereka meneruskan kehidupan agar tidak lagi terlibat dengan kegiatan yang tidak bermoral," ujarnya.

Beliau memberitahu, terdapat beberapa cara untuk mengurangkan risiko dan tekanan terhadap penghidap HIV/Aids termasuk kaunseling, rawatan serta pemulihan untuk memastikan mereka dapat hidup dalam bermasyarakat seperti insan yang lain.-Utusan

Tuesday, June 9, 2009

State to sponsor Mat Rempit for motorcycle GPs

Tuesday June 9, 2009

KUALA TERENGGANU: The state government is on an all-out crusade to rid public roads of Mat Rempit by offering to sponsor them for international motorcycle grand prix events.

The offer came from Mentri Besar Datuk Ahmad Said as the Mat Rempit menace has reached an alarming level in the state.

“I want to tell youths that indulging in illegal motorcycle races is unwise as they can use their time and resources for beneficial activities.

“We are willing to render other assistance to those who are interested in becoming professional racers besides sponsoring them for the grand prix circuit,” he said here.

He also appealed to Mat Rempit not to risk the lives of others by racing illegally on public roads.

Sports and Youth Committee chairman Datuk Abdul Rahin Mohd Said said Terengganu was going ahead with plans to build a RM4.1mil race circuit in Gong Badak, close to the Sultan Mizan Zainal Abidin Stadium. Star

Wednesday, June 3, 2009

Masalah mat rempit tidak selesai

RIMBA BANDAR BUKIT BAUK – Isu mat rempit tidak pernah selesai, seolah-olah tiada berpenghujung walaupun pelbagai pendekatan diambil bagi menangani krisis moral yang melanda remaja masa kini.

Dahulu mat rempit dan kini digelar samseng jalanan dianggap segelintir pihak sebagai bentuk perilaku yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam sehingga ada desakan supaya kerajaan menggubal undang-undang khas walaupun Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada dikatakan belum cukup memberi hukuman sewajarnya kepada pesalah jalan raya.

Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan berpendapat, masalah yang melanda anak muda harus ditangani dengan bijaksana kerana mereka adalah generasi membentuk masa depan negara.

Beliau yang kurang bersetuju golongan mat rempit ini digelar samseng jalanan mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan tempat khas bagi membolehkan peminat motosikal ‘kapcai’ itu menunjukkan bakat serta kehebatan mereka beraksi di jalanan, bukannya menjadikan jalan raya sebagai pentas pertunjukan.

“Kerajaan mesti mencari jalan bagi mengatasi gejala yang turut memberi kesan kepada keharmonian masyarakat setempat, jika kerajaan boleh menyediakan bangunan, kompleks, pusat beli-belah dan pelbagai projek lain yang menelan belanja jutaan serta berbilion ringgit, kenapa kita tidak boleh menggunakan sebahagian duit ini memberi tempat kepada remaja yang akhirnya boleh menyelamatkan masa depan negara juga,”

“Setelah kita menyediakan litar khas untuk mengisi ‘ruang’ mereka yang dikatakan kosong itu, golongan ini harus pula membuktikan kehebatan mereka dengan kelahiran beberapa jaguh lumba motosikal bertaraf dunia dari daerah ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan majlis penutup Kem Padu Anak Malaysia peringkat Daerah Dungun yang berlangsung selama tiga hari, di sini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri, Mohd Khalil Ahmad dan Pegawai JPNIN Dungun, Baharuddin Abdul Ghani.

Menurut Rosli, sekiranya mereka tidak menggunakan tempat itu dengan sebaiknya dan masih menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan lebih tegas termasuk meminda peruntukan undang-undang sehingga dikenakan hukuman lebih berat termasuklah memenjarakan mereka jika terbukti bersalah.

Program anjuran JPNIN Daerah Dungun itu disertai 41 remaja termasuk 11 daripadanya kaum Cina membabitkan seluruh Pertubuhan Kawalan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Dungun.

Monday, June 1, 2009

Gara-gara ditegur, anak ugut bunuh bapa

Gara-gara ditegur, anak ugut bunuh bapa

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang bekerja di sebuah depoh lori di Kawasan Perindustrian Kampung Cacak, Paka mengugut membunuh bapa sendiri gara-gara tidak berpuas hati kerana ditegur dan dinasihati untuk pergi bekerja, Khamis lalu.

Kejadian berlaku pada jam 12.15 pagi apabila mangsa, 50-an, yang berasal dari Kampung Tebing Tembah, Paka, bersama isterinya, pergi mencari suspek di sebuah pusat karaoke di bandar paka untuk menasihati suspek supaya pulang bekerja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, suspek yang tidak berpuas hati dengan teguran bapanya terus pulang dan menuju ke tempat kerja sambil diekori mangsa.

“Sampai di tempat kerja, mangsa masih menasihati suspek dengan cara yang baik kerana mendapati suspek sudah lama tidak datang bekerja. Suspek yang tidak suka dan tidak berpuas hati dengan teguran itu mengamuk dan mengugut akan membunuh mangsa suatu hari nanti.

“Menurut mangsa, suspek dipercayai penagih dadah meluahkan kata-kata itu dalam keadaan tidak normal. Oleh kerana bimbang keselamatannya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Paka pada jam 5 pagi hari kejadian.

“Suspek kini ditahan dan kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Sinar

Operator kilang, mekanik dicekup edar dadah

Operator kilang, mekanik dicekup edar dadah

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menahan dua lelaki kerana mengedar dadah dalam satu sekatan jalan raya yang dilakukan di kilometer 154, laluan Kuala Terengganu menghala Kuantan berhampiran Chendor, Kemaman kelmarin.

Turut dirampas adalah 10 botol ketulan dadah jenis heroin seberat 43 gram bernilai kira-kira RM1,500 yang disimpan di dalam kereta dan wang sebanyak RM1,100 dipercayai hasil jualan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid (gambar) berkata, kedua-dua lelaki yang menaiki Proton Wira itu ditahan pada jam 9.30 malam kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, suspek berusia 29 dan 25 tahun yang bekerja sebagai operator kilang dan mekanik itu dipercayai dalam perjalanan dari negara jiran ke Kuala Lumpur selepas mendapatkan bekalan dadah di sana.

“Hasil ujian air kencing, kita dapati kedua-dua suspek positif mengambil dadah jenis methaphetamine dan kini mereka ditahan reman sehingga 7 Jun depan untuk siasatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, selain positif dadah suspek turut mempunyai rekod jenayah seperti kes pecah rumah, dadah dan seorang daripadanya masih lagi dibicarakan di mahkamah atas kesalahan berkaitan dadah.

“Mereka ditahan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan Seksyen 15 (1)(a) bawah akta yang sama kerana masukkan dadah dalam badan,” katanya. - Sinar

Woman robbed of gold chain

KUALA TERENGGANU: An armed intruder robbed a woman of a gold chain worth RM500 in Kampung Tok Ris, here, on Thursday night.
The woman was coming down the stairs of her house when the man held a kitchen knife to her neck before yanking off the chain.

It is believed the man had entered the house through the window in the kitchen.

In an earlier incident, a 63-year-old retiree lost jewellery worth RM6,000 to burglars in Kampung Kedai Manir.

Among the items stolen were a gold chain and two diamond rings. NST Online » Local News
2009/06/01

RM4.1j besarkan litar Gong Badak

Oleh Baharom Bakar
bhkt@bharian.com.my

Projek dilaksana bendung lumba haram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM4.1 juta bagi projek pembesaran litar lumba di kawasan Kompleks Sukan Gong Badak di sini bagi membendung kegiatan perlumbaan haram terutama yang membabitkan samseng jalanan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang dipertanggungjawab merangka pelaksanaan projek itu, sudah menyerahkan kertas cadangan pembesaran litar lumba untuk motosikal dan kereta daripada 300 meter kepada 600 meter.

"Selain membesarkan litar, kita juga bercadang untuk menyediakan pelbagai kelengkapan lain termasuk tempat duduk untuk keselesaan peminat sukan bermotor.

"Pembinaan litar itu adalah antara cadangan jangka panjang yang dirumus kerajaan negeri bagi mengurangkan masalah kegiatan samseng jalanan yang menjadikan beberapa jalan utama sekitar bandar raya ini sebagai gelanggang perlumbaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan kira-kira 500 warga bandar raya ini dalam acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer sempena Karnival Jacob' s Walk Of Life di Pantai Batu Burok, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Kraft Malaysia, Dieter Schuls dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar.

Abdul Rahin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kawasan Teluk Pasu, berkata kerajaan negeri bersetuju untuk membina litar itu bagi mengurangkan kegiatan perlumbaan motosikal haram oleh samseng jalanan selepas mendapat pandangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri.

Katanya, masalah kegiatan lumba motosikal haram yang dilakukan golongan remaja terutamanya pada setiap malam minggu dan hari minggu di beberapa jalan utama di negeri ini mampu dikurangkan jika litar dibina.

"Kita mengambil contoh di Kuala Lumpur, gejala lumba motosikal haram kurang berlaku ketika litar lumba di Batu 3 disediakan sekitar tahun 1980, tetapi masalah lumba haram kembali berlaku dan beberapa jalan utama dijadikan sebagai gelanggang perlumbaan apabila litar itu ditutup kerana kawasan berkenaan terbabit dengan projek pembangunan," katanya.

Kes pecah rumah di Terengganu meningkat

KUALA TERENGGANU 31 Mei - Orang ramai diingatkan supaya memastikan rumah mereka dikunci sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing pada musim cuti sekolah ini bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, mereka juga dinasihatkan berhati-hati ekoran berlakunya peningkatan kes pecah rumah sejak kebelakangan ini dengan yang terbaru ialah dua kes kelmarin.

Menurut beliau, dalam kejadian pertama, seorang warga emas kehilangan barang kemas bernilai RM6,000 apabila rumahnya di Kampung Kedai Manir, Manir, di sini dipecah masuk.

"Mangsa berusia 65 tahun keluar dari rumah kira-kira pukul 5 petang dan pulang kira-kira pukul 7 petang, mendapati rumahnya berada dalam keadaan berselerak.

"Selepas memeriksa rumah, dia dapati barangan kemas termasuk satu utas rantai leher emas, satu butang emas dan dua bentuk cincin emas hilang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, penjenayah berkenaan dipercayai memecah masuk rumahnya melalui tingkap sisi dan keluar melalui pintu dapur.

Dalam kejadian kedua, katanya, seorang gadis berusia 20-an kehilangan seutas rantai leher bernilai RM500 apabila rumahnya di Kampung Tok Ris di sini, turut dipecah masuk Khamis lalu.

Beliau memberitahu, kejadian disedari kira-kira pukul 10.30 malam apabila mangsa hendak turun ke tingkat bawah rumahnya.

"Dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki yang menutup mukanya dengan kain berada di dalam rumah.

"Penjenayah itu kemudian bertindak mengacu mangsa dengan pisau dan mengambil rantai di lehernya," katanya. - Utusan