Friday, June 19, 2009

RM61 juta pastikan kemiskinan tegar sifar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri memperuntukkan dana bantuan sebanyak RM61 juta untuk pelbagai jenis bantuan kemiskinan kepada rakyat Terengganu sepanjang tahun ini.:

:Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Mat Razali Kassim berkata, selain keprihatinan kerajaan negeri terhadap golongan miskin, bantuan tersebut selari dalam memastikan sasaran kemiskinan tegar sifar tahun depan.

Sehingga kini, seramai 721 buah keluarga di negeri ini diberi bantuan dengan jumlah RM1.36 juta sejak 2008 dalam usaha menurunkan kadar kemiskinan isi rumah kepada 2.8 peratus.

“Seramai 256 permohonan baru sedang diproses dan ini menambahkan bilangan bantuan terhadap golongan miskin,” katanya ketika berucap di Majlis Penyaluran Bantuan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, di Dewan Tunku Abdul Rahman, semalam.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan jumlah bantuan bernilai RM73,068 kepada kira-kira 103 keluarga miskin yang layak di bawah program tersebut.

Selain itu, beliau menjelaskan, kerajaan juga telah mengeluarkan peruntukkan kira-kira RM400,000 untuk bantuan persekolahan dan sewa rumah kepada kira-kira 258 buah keluarga.

“Yang layak akan dibantu selaras dengan 1Malaysia dan kerajaan sanggup membela rakyat yang miskin bagi memastikan tahun 2010 kemiskinan tegar sifar. Kita masih ada enam bulan lagi,” katanya.

Mat Razali turut mengharapkan golongan yang diberi bantuan terutama modal perniagaan berusaha untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi masing-masing bagi menikmati kehidupan lebih selesa pada masa depan.Sinar

No comments:

Post a Comment