Sunday, June 21, 2009
15,000 penagih sedang dirawat
KUALA TERENGGANU – Kira-kira 15,000 penagih dadah di negara ini sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), termasuk 1,000 orang dari Terengganu.
Ketua Penolong Pengarah AADK, Wan Adenan Wan Mohd Nor berkata, secara umumnya, jumlah penyalahgunaan dadah paling tinggi berlaku di negeri sebelah utara di samping bandar raya besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Beliau berkata, sebaliknya, Terengganu berada pada tempat antara kesembilan dan 11 dalam kedudukan tersebut berbanding negeri lain di samping Kelantan yang tidak membimbangkan berikutan negeri itu hanya transit untuk pengedaran dadah ke kota metropolitan dan juga negeri sebelah utara.
“Di negeri ini, 62 orang ditangkap dalam tempoh Januari hingga Mac di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283),” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Program Gempur Dadah di Kampung Pengadang Baru, semalam.
Mengulas lanjut, Wan Adenan memberitahu, trend terkini penyalahgunaan dadah lebih tertumpu kepada dadah rangsangan seperti syabu dan pil kuda dengan peningkatan lima peratus.
“Bagaimanapun, penggunaan dadah tradisi seperti morfin dan heroin semakin menurun tetapi yang kita takut ialah penggunaan syabu yang boleh membawa kepada gila dan kerosakan mental. Ini trend remaja kita,” katanya.
Dalam perkembangan terbaru, pihaknya akan menjejak penagih dadah termasuk di tempat kerja dalam proses mengembalikan golongan itu kepada masyarakat melalui fasa kedua.
Menurut beliau, komuniti Bebas Dadah di Tempat Kerja merupakan empat strategi AADK selain Komuniti Bebas Dadah, Keluarga Bebas Dadah dan Institusi Bebas Dadah menekankan teknik pujukan kepada golongan penagih supaya tidak menggunakan dadah selain meminta mereka menyerah diri ke pusat pemulihan.
“Mereka (yang bekerja) terlibat dengan dadah ini lebih daripada 75 peratus. Bagi AADK sendiri ada penguatkuasaan dan kita akan ke fasa kedua, bukan guna untuk tangkap mereka tetapi memujuk,” katanya.
AADK menyediakan 12 program melalui Komuniti Bebas Dadah antaranya Gempur Dadah, Hidayah (sambutan hari kebesaran Islam), Remaja Antidadah (Rada) khusus untuk 15 tahun ke atas dan Masyarakat Wanita Antidadah (Mawardah).
Beliau berkata, ketika ini pihaknya meneruskan fasa pertama melalui Program Jejak untuk mencari semula mereka yang tidak melapor diri selepas keluar dari pusat serenti dan penjara.
Anggota polis menunjukkan seni bela diri pada pada Majlis Penutup Program Gempur Dadah, semalam. - Sinar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment