Wednesday, June 3, 2009

Masalah mat rempit tidak selesai

RIMBA BANDAR BUKIT BAUK – Isu mat rempit tidak pernah selesai, seolah-olah tiada berpenghujung walaupun pelbagai pendekatan diambil bagi menangani krisis moral yang melanda remaja masa kini.

Dahulu mat rempit dan kini digelar samseng jalanan dianggap segelintir pihak sebagai bentuk perilaku yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam sehingga ada desakan supaya kerajaan menggubal undang-undang khas walaupun Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia ada dikatakan belum cukup memberi hukuman sewajarnya kepada pesalah jalan raya.

Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan berpendapat, masalah yang melanda anak muda harus ditangani dengan bijaksana kerana mereka adalah generasi membentuk masa depan negara.

Beliau yang kurang bersetuju golongan mat rempit ini digelar samseng jalanan mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan tempat khas bagi membolehkan peminat motosikal ‘kapcai’ itu menunjukkan bakat serta kehebatan mereka beraksi di jalanan, bukannya menjadikan jalan raya sebagai pentas pertunjukan.

“Kerajaan mesti mencari jalan bagi mengatasi gejala yang turut memberi kesan kepada keharmonian masyarakat setempat, jika kerajaan boleh menyediakan bangunan, kompleks, pusat beli-belah dan pelbagai projek lain yang menelan belanja jutaan serta berbilion ringgit, kenapa kita tidak boleh menggunakan sebahagian duit ini memberi tempat kepada remaja yang akhirnya boleh menyelamatkan masa depan negara juga,”

“Setelah kita menyediakan litar khas untuk mengisi ‘ruang’ mereka yang dikatakan kosong itu, golongan ini harus pula membuktikan kehebatan mereka dengan kelahiran beberapa jaguh lumba motosikal bertaraf dunia dari daerah ini,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyempurnakan majlis penutup Kem Padu Anak Malaysia peringkat Daerah Dungun yang berlangsung selama tiga hari, di sini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri, Mohd Khalil Ahmad dan Pegawai JPNIN Dungun, Baharuddin Abdul Ghani.

Menurut Rosli, sekiranya mereka tidak menggunakan tempat itu dengan sebaiknya dan masih menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan lebih tegas termasuk meminda peruntukan undang-undang sehingga dikenakan hukuman lebih berat termasuklah memenjarakan mereka jika terbukti bersalah.

Program anjuran JPNIN Daerah Dungun itu disertai 41 remaja termasuk 11 daripadanya kaum Cina membabitkan seluruh Pertubuhan Kawalan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Dungun.

No comments:

Post a Comment