Thursday, April 30, 2009

Gejala dadah sintetik ancaman baru kepada masyarakat

MARANG - Kewujudan dadah sintetik seperti pil kuda, ketamin dan eramin 5 kini menjadi ancaman baru kepada masyarakat, termasuk golongan pelajar.

:Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Marang, Wan Zulkafli Wan Ahmad berkata, situasi itu dikhuatiri akan terus menular dan menjadi budaya yang tidak sihat kepada generasi akan datang.

Menurutnya, trend dalam kalangan masyarakat kini yang gemar menggunakan dadah sintetik itu, sangat membimbangkan kerana kesannya sangat dahsyat, termasuk gangguan emosi dan merosakkan sistem saraf pusat seperti otak serta saraf tunjang.

“Oleh itu kami (pihak berkuasa dan jabatan berkaitan) memerlukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

“Pihak AADK sendiri selain mengadakan kempen, turut terbabit dalam operasi dengan kerjasama pihak berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gerak Sedar Bersepadu (Progress), di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, semalam.

Menurutnya, dalam pemeriksaan yang dilakukan di 12 buah sekolah menengah di daerah ini Februari hingga April lalu umpamanya, mereka mendapati lima daripada mereka positif dadah, empat positif pil kuda dan seorang terlibat ganja. Perkara seperti inilah yang harus dibendung dari awal.

Program Sayangi Keluarga yang bertemakan ‘Institusi Keluarga Bebas Dadah’ itu adalah anjuran AADK Daerah Marang dan SMK Tun Telanai.

Ia dirasmikan Pegawai Daerah Marang, A Rahman Che Ali.

Sepanjang program, peserta berpeluang mengikuti ceramah dan kuiz berkaitan daripada AADK Daerah Marang dan ceramah kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Marang selain pameran serta pertandingan.

Program berkenaan diadakan bagi mewujudkan kesedaran murid, guru dan masyarakat mengenai bahaya dadah selain menggalakkan interaksi sosial positif antara murid serta masyarakat.

Ia diharap menjadi platform memerangi dadah dan menyediakan maklumat kepada pelajar berkenaan mengenai bahaya dadah.
Sinar 30/04/09

Pelajar dicekik penyamun

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dicekik, lalu dikurung dalam sebuah bilik oleh penyamun yang memecah masuk rumah keluarganya di Kampung Geliga Bahagia, Chukai, Kemaman, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa yang tinggal seorang diri di rumah pada mulanya terdengar sesuatu di dapur dan ternampak seorang lelaki tidak dikenali bertindak memecah masuk melalui syiling pada bahagian berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri berkata, suspek yang tidak memakai topeng terkejut apabila ternampak mangsa kerana tidak menyangka rumah dimasukinya ada penghuni.

“Akibatnya, suspek terus bertindak mengambil sebilah pisau lalu menyerang mangsa dengan mencekik leher pelajar wanita berkenaan menggunakan tuala.

“Suspek juga kemudian meminta kunci rumah daripada mangsa sebelum dia bertindak mengurung mangsa di dalam bilik belakang rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabatnya, semalam.

Bagaimanapun, menurut Mohd Fauzi, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan selepas itu menghubungi ayahnya dengan menggunakan telefon yang berada di dalam bilik berkenaan

“Akibat kejadian itu juga, mangsa dan keluarganya mengalami kerugian kira-kira RM4,000 termasuk sebuah komputer riba dan lima telefon bimbit. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana rompak,” katanya.
Sinar 30/04/09

Duda, anak dara dicekup berkhalwat siang hari

TAMAN MELUR - Keseronokan sepasang kekasih yang asyik memadu asmara di dalam bilik tidur berhawa dingin di sebuah rumah milik pasangan lelaki pada siang hari, membawa padah apabila mereka dicekup anggota penguat kuasa syariah dekat Paka, di sini.

Dalam tangkapan khalwat pada jam 1.20 tengah hari itu, pasangan terbabit yang mengakui kononnya telah mengikat tali pertunangan tanpa pengetahuan keluarga, dipercayai menjalinkan hubungan sulit sejak beberapa bulan lalu dan ketika ditahan mereka dikatakan tidur di dalam bilik dalam keadaan berdua-duaan.

Lelaki yang ditahan adalah duda anak dua yang bekerja sebagai juruteknik makmal sebuah syarikat swasta di kawasan industri petroleum di Paka.

Sebelum ini, lelaki terbabit juga pernah ditahan kerana melakukan penyubahatan berkaitan kes khalwat yang dilakukan di rumahnya oleh rakannya pada awal April lalu.

Sementara, pasangannya yang bekerja sebagai eksekutif jualan berumur 27 tahun itu pula dipercayai datang ke rumah teman lelakinya pada awal pagi, sebaik turun daripada bas selepas pulang dari Kuantan.

Turut ditahan dalam serbuan terbabit, seorang lelaki berumur 30-an dan berasal dari Felda Kerteh yang tidur di bilik bersebelahan, dipercayai rakan kepada duda berkenaan.

Sementara wanita terbabit yang juga eksekutif bujang dan bekerja di bidang perhotelan bersama teman lelakinya yang berumur 35 tahun, berasal dari Johor akan menghadapi pertuduhan mengikut Sek-syen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Rakan kepada duda anak dua itu pula yang bekerja di tapak pembinaan, akan didakwa mengikut Seksyen 55 kerana melakukan penyubahatan dan jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman sama dengan peruntukan bagi kesalalahan berkenaan.

Ketiga-tiga mereka dibawa ke Pejabat Unit Penguat kuasa Syariah Jabatan Agama Dungun untuk diambil keterangan, sebelum dibebaskan selepas diikat jamin oleh penjamin masing-masing.
Sinar 29/04/09

Empat kakitangan kerajaan ditahan kerana dadah

KUALA TERENGGANU – Polis menahan empat kakitangan kerajaan kerana kesalahan penyalahgunaan dadah dalam tiga tangkapan berasingan di Setiu, Dungun dan Besut, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abdul Wahid berkata, tangkapan pertama dilakukan ke atas dua kakitangan sebuah hospital di Setiu kerana menggunakan ubat batuk sebagai dadah.

“Kedua-dua suspek berumur 30 tahun itu mencampurkan ubat batuk dengan antibiotik dan meminumnya untuk mendapatkan kesan yang hebat tanpa memikirkan kesan negatif akibat perlakuan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, tangkapan seterusnya pula dilakukan terhadap seorang kakitangan pasukan keselamatan berumur 37 tahun bersama ganja di Bandar Al-Muktafibillah Shah, Dungun pada 21 April lalu.

“Selain menagih dadah, suspek juga menjalankan aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan di kawasan bandar terbabit.

“Tangkapan terakhir adalah di Jertih, Besut membabitkan seorang pembantu am rendah klinik kesihatan berumur 33 tahun,” katanya.

Menurut Roslan, suspek ditahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama,” katanya.
Sinar 29/04/09

Gadis 14 tahun mangsa rogol bapa kandung

KEMAMAN - Seorang remaja perempuan berumur 14 tahun menjadi mangsa kerakusan nafsu serakah bapa kandungnya sendiri, apabila dia dipercayai dirogol berulang kali dalam kejadian yang berlaku di rumahnya di Kampung Meraga Beris, Kijal sejak awal tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat, ketika kejadian itu berlaku, kedua ibu bapa mangsa telah bercerai dan dia diletakkan di dalam jagaan bapanya.

“Akibat tidak tahan dengan perlakuan bapanya, remaja berkenaan bertindak melarikan diri dari rumah dan mendapatkan perlindungan ibunya. Kedua beranak itu telah membuat laporan di Balai Polis Chukai bagi mendapat perbelaan sewajarnya,” katanya.

Menurut Abdullah, bapa mangsa yang berumur 40 tahun dan membuka perniagaan sebuah warung itu mempunyai tiga isteri.

“Berdasarkan laporan itu, suspek telah ditangkap dan kini berada di lokap Ibu Pejabat Polis Chukai untuk tahanan reman.

“Mangsa juga telah dirujuk di Hospital Kemaman dan kami masih menunggu laporan perubatan,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol dan sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman sebat.

Remaja 13 tahun dirogol teman lelaki

Remaja 13 tahun dirogol teman lelaki
BESUT – Seorang remaja berumur 13 tahun membuat laporan polis mendakwa dia dirogol teman lelakinya di rumah kekasihnya itu di Kampung Jebak Puyuh, dekat Jertih.

Dalam laporan itu, pelajar sekolah terbabit mendakwa, pada Khamis, 23 April lalu sekitar 3.15 petang, dia mengikut teman lelakinya yang berumur 20-an bersiar-siar di Pantai Air Tawar.

Remaja itu mendakwa, pada jam 7.30 malam, dia dibawa pulang ke rumah teman lelakinya itu.

Suspek memberitahu ibu dan ayahnya untuk menumpangkan kekasihnya itu dengan alasan hari sudah malam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, pada jam 12.45 tengah malam, lelaki terbabit didakwa telah masuk ke bilik tempat mangsa tidur, kemudian melakukan hubungan seks dengannya.

“Pada sebelah paginya, mangsa dihantar pulang ke rumahnya di Kampung Chegar Batang, Pasir Akar, dekat Hulu Besut oleh teman lelakinya itu.

“Setelah pulang ke rumah, mangsa memberitahu apa yang berlaku kepada keluarganya lalu dia ditemaninya bapanya telah membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja,” katanya.

Hasil laporan diterima, pihak polis kini giat mengesan lelaki berkenaan yang sudah dikenal pasti identitinya. - Sinar 29/04/09

Monday, April 27, 2009

SMS death threat case: Clerk freed on bail

Monday April 27, 2009
SMS death threat case: Clerk freed on bail

KUALA TERENGGANU: A 31-year-old clerk detained in connection with the SMS death threats received by three Barisan Nasional assemblymen has been released on police bail.

The clerk, who was detained at Bandar Baru Bangi in Selangor on April 20, was released at about 6pm yesterday after being remanded for a week.

The SMS which was sent to assemblymen Datul Rosol Wahid (ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) and Zakaria Abdullah (Paka) on April 13 led to them and seven other representatives staying away from the second-day sitting of the state assembly.

It is learnt that police were zooming in on the culprit who allegedly sent the SMS based on the information provided by the clerk.