MARANG - Kewujudan dadah sintetik seperti pil kuda, ketamin dan eramin 5 kini menjadi ancaman baru kepada masyarakat, termasuk golongan pelajar.
:Ketua Pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Marang, Wan Zulkafli Wan Ahmad berkata, situasi itu dikhuatiri akan terus menular dan menjadi budaya yang tidak sihat kepada generasi akan datang.
Menurutnya, trend dalam kalangan masyarakat kini yang gemar menggunakan dadah sintetik itu, sangat membimbangkan kerana kesannya sangat dahsyat, termasuk gangguan emosi dan merosakkan sistem saraf pusat seperti otak serta saraf tunjang.
“Oleh itu kami (pihak berkuasa dan jabatan berkaitan) memerlukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai pihak bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa.
“Pihak AADK sendiri selain mengadakan kempen, turut terbabit dalam operasi dengan kerjasama pihak berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Gerak Sedar Bersepadu (Progress), di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, semalam.
Menurutnya, dalam pemeriksaan yang dilakukan di 12 buah sekolah menengah di daerah ini Februari hingga April lalu umpamanya, mereka mendapati lima daripada mereka positif dadah, empat positif pil kuda dan seorang terlibat ganja. Perkara seperti inilah yang harus dibendung dari awal.
Program Sayangi Keluarga yang bertemakan ‘Institusi Keluarga Bebas Dadah’ itu adalah anjuran AADK Daerah Marang dan SMK Tun Telanai.
Ia dirasmikan Pegawai Daerah Marang, A Rahman Che Ali.
Sepanjang program, peserta berpeluang mengikuti ceramah dan kuiz berkaitan daripada AADK Daerah Marang dan ceramah kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Marang selain pameran serta pertandingan.
Program berkenaan diadakan bagi mewujudkan kesedaran murid, guru dan masyarakat mengenai bahaya dadah selain menggalakkan interaksi sosial positif antara murid serta masyarakat.
Ia diharap menjadi platform memerangi dadah dan menyediakan maklumat kepada pelajar berkenaan mengenai bahaya dadah.
Sinar 30/04/09
Thursday, April 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment