Thursday, April 30, 2009

Duda, anak dara dicekup berkhalwat siang hari

TAMAN MELUR - Keseronokan sepasang kekasih yang asyik memadu asmara di dalam bilik tidur berhawa dingin di sebuah rumah milik pasangan lelaki pada siang hari, membawa padah apabila mereka dicekup anggota penguat kuasa syariah dekat Paka, di sini.

Dalam tangkapan khalwat pada jam 1.20 tengah hari itu, pasangan terbabit yang mengakui kononnya telah mengikat tali pertunangan tanpa pengetahuan keluarga, dipercayai menjalinkan hubungan sulit sejak beberapa bulan lalu dan ketika ditahan mereka dikatakan tidur di dalam bilik dalam keadaan berdua-duaan.

Lelaki yang ditahan adalah duda anak dua yang bekerja sebagai juruteknik makmal sebuah syarikat swasta di kawasan industri petroleum di Paka.

Sebelum ini, lelaki terbabit juga pernah ditahan kerana melakukan penyubahatan berkaitan kes khalwat yang dilakukan di rumahnya oleh rakannya pada awal April lalu.

Sementara, pasangannya yang bekerja sebagai eksekutif jualan berumur 27 tahun itu pula dipercayai datang ke rumah teman lelakinya pada awal pagi, sebaik turun daripada bas selepas pulang dari Kuantan.

Turut ditahan dalam serbuan terbabit, seorang lelaki berumur 30-an dan berasal dari Felda Kerteh yang tidur di bilik bersebelahan, dipercayai rakan kepada duda berkenaan.

Sementara wanita terbabit yang juga eksekutif bujang dan bekerja di bidang perhotelan bersama teman lelakinya yang berumur 35 tahun, berasal dari Johor akan menghadapi pertuduhan mengikut Sek-syen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Rakan kepada duda anak dua itu pula yang bekerja di tapak pembinaan, akan didakwa mengikut Seksyen 55 kerana melakukan penyubahatan dan jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman sama dengan peruntukan bagi kesalalahan berkenaan.

Ketiga-tiga mereka dibawa ke Pejabat Unit Penguat kuasa Syariah Jabatan Agama Dungun untuk diambil keterangan, sebelum dibebaskan selepas diikat jamin oleh penjamin masing-masing.
Sinar 29/04/09

No comments:

Post a Comment