| March 17, 2009 15:14 PM | |
Bekas Pengarah IKBN Mengaku Tidak Bersalah Perdaya KBS
KUALA TERENGGANU, 17 Mac (Bernama) -- Bekas Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai dekat Marang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap pertuduhan memperdaya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggunakan dokumen palsu pada Disember 2005.
Kamarozaman Hassan, 51, yang kini bertugas di kementerian berkenaan di Putrajaya, meminta kes tersebut dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu semasa bertugas di IKBN tersebut, dengan niat hendak memperdaya kementerian berkenaan dengan suatu dokumen iaitu pesanan kerajaan bernombor CKT B0280402, yang mengandungi pernyataan palsu.
Mengikut kertas pertuduhan, beliau yang berasal dari Wakaf Bharu, Pasir Mas, Kelantan telah memperdaya KBS dengan pesanan kerajaan berhubung kerja-kerja membaiki tandas tersumbat di asrama wanita dan lelaki di IKBN berkenaan sedangkan tiada kerja-kerja tersebut dilakukan.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan terbabit atau pun RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Hakim Mohd Azhar membenarkan Kamarozaman diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April ini sebagai tarikh perbicaraan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mohd Sophian Zakaria.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment