Sunday, March 8, 2009

Enam Pengedar Dadah Ditahan Ketika Khayal Di Besut

March 07, 2009 16:50 PM

Enam Pengedar Dadah Ditahan Ketika Khayal Di Besut

BESUT, 7 Mac (Bernama) -- Enam lelaki yang dipercayai pengedar dadah ditahan ketika dalam keadaan khayal dalam satu serbuan bersepadu cegah jenayah dan maksiat yang dijalankan oleh polis bersama kakitangan Jabatan Agama Daerah Besut di sebuah bilik di hotel dekat sini awal pagi Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut DSP Roslan Hassan berkata semasa serbuan dijalankan kira-kira 4 pagi oleh sepasukan anggota polis diketuai Cif Inspektor Mohd Ruzaimi Abdul Rahman dan kakitangan penguatkuasa agama itu, keenam-enam lelaki yang berumur antara 19 dan 30 tahun itu didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat pengambilan dadah.

"Apabila pemeriksaan dilakukan, polis menemui sejumlah 114 biji pil dipercayai pil kuda dan dua tiub straw dipercayai syabu disimpan dalam beg pinggang salah seorang daripada lelaki di dalam bilik tersebut," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya kesemua lelaki yang berasal dari Bachok, Kelantan itu telah ditahan dan hasil pemeriksaan air kencing yang dijalankan ke atas mereka mendapati ksemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Salah seorang daripada suspek juga, katanya tidak mempunyai kad pengenalan.

Beliau berkata polis akan mendapatkan perintah tahanan reman untuk mereka esok dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment