Tuesday, March 17, 2009

Polis Tumpas Sindiket Curi Kenderaan Di T'ganu




Lain-lain Pautan
Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu
Laman Web Rasmi Negeri Pahang



Berita Timur

March 16, 2009 19:15 PM

Polis Tumpas Sindiket Curi Kenderaan Di T'ganu

KUALA TERENGGANU, 16 Mac (Bernama) -- Satu sindiket mencuri kenderaan tumpas apabila lima anggota kumpulan itu termasuk seorang wanita ditahan dalam operasi di dua daerah di Terengganu awal pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Mohd Jamil berkata polis turut merampas tujuh buah kereta dan sebuah motosikal.

"Kami membuat intipan terhadap kumpulan ini sejak dua minggu lepas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Hamzah berkata berdasarkan maklumat yang diterima, sepasukan polis yang diketuai C/Insp V.Saravanan membuat serbuan di sebuah rumah di jalan Rawai, Kampung Pasir Tinggi, Telemong, Hulu Terengganu.

Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, beliau berkata polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita serta menemui beberapa peralatan dan alat ganti kereta.

"Kami turut merampas empat buah kereta termasuk tiga daripadanya dipercayai dicuri daripada kedua-dua suspek terbabit," katanya.

Beliau berkata susulan daripada tangkapan itu, sepasukan polis bersama tujuh anggota menahan tiga lagi lelaki di kawasan Ladang di sini, pada pukul 4.10 pagi.

Hamzah berkata hasil serbuan kedua itu, polis menemui dua daripada tiga buah kereta dan sebuah motosikal, yang dilapor hilang sebelum ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati anggota kumpulan itu yang berusia antara 19 dan 32 tahun, terlibat dalam kegiatan mencuri kenderaan sejak pertengahan 2008.

"Polis sedang mengesan semula antara 15 dan 20 buah kereta serta motosikal yang dicuri," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment