Saturday, April 25, 2009

Kerani Diberkas Disyaki Hantar SMS Ugut Tiga ADUN

April 22, 2009 17:08 PM

Kerani Diberkas Disyaki Hantar SMS Ugut Tiga ADUN

KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Seorang kerani syarikat swasta sedang disiasat berhubung penghantaran SMS berbentuk ugutan kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Fauzi Abduri berkata lelaki berusia 31 tahun itu diberkas di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, Selangor, pada 9.30 pagi dua hari lepas.

Pada 13 April lepas, tiga Adun Barisan Nasional terdiri Datuk Rosol Wahid (Ajil) Zakaria Abdullah (Paka) dan Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) membuat laporan polis selepas menerima SMS yang mengancam keselamatan mereka.

Penghantaran SMS itu, dipercayai merujuk kepada desas-desus mengenai pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang beralngsung minggu lepas.

Fauzi berkata polis turut merampas komputer peribadi lelaki terbabit bagi membantu siasatan.

"Kita telah menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan dan insya-Allah ia akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan pula berkata polis telah mengenal pasti bahawa SMS itu bukannya dihantar oleh pegawai kanan di pejabat Menteri Besar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, Datuk Ahmad Said melahirkan rasa lega kerana suspek yang ditahan berhubung penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga ADUN Terengganu baru-baru ini, tiada kaitan dengan individu yang bekerja di pejabatnya.

Menteri Besar Terengganu itu yakin dengan penahanan lelaki terbabit, akan mendedahkan perkara sebenar berhubung kes berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada polis kerana mempercepatkan siasatan kes ini. Saya yakin kebenaran akan terbukti kelak," katanya ketika diminta mengulas penahanan lelaki berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment