BESUT 24 April - Sebuah keluarga yang terdiri daripada 10 beranak di Kampung Bukit Tanah, dekat sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dijilat api dalam satu kebakaran, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Nik Azizah Nik Lah, 39, berada di luar untuk membeli ikan daripada penjual kampung, kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Ketika itu, suaminya, Mohd. Rosli Yaakob, 45, juga tiada di rumah kerana bekerja sebagai buruh di Damansara, Kuala Lumpur, manakala empat anaknya bersekolah dan empat lagi tiada di rumah.
"Dalam perjalanan pulang saya lihat kepulan asap keluar dari bumbung rumah lalu saya bergegas untuk melihat apa sebenarnya berlaku," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Menurutnya, dari jarak beberapa meter dia melihat api menjilat rumahnya lalu memberanikan diri memasukinya untuk menyelamatkan harta benda.
Bagaimanapun jelasnya, dia keluar semula kerana takut apabila api semakin marak.
"Saya cuba memadamkan api dengan menyembur air menggunakan paip getah tetapi gagal kerana api marak begitu cepat dan saya hanya mampu melihat rumah hangus dalam sekelip mata," ujarnya.
Nik Azizah berkata, berikutan kejadian itu, barang kemas bernilai kira-kira RM6,000, wang tunai RM500 serta wang syiling kira-kira RM400 miliknya musnah.
Jelasnya, turut musnah ialah beberapa buah alat jentera yang digunakan suaminya untuk bekerja dan dua buah motosikal.
Bagaimanapun dia bersyukur kerana lapan anaknya berusia antara empat dan 23 tahun selamat kerana mereka semua tidak berada dalam rumah ketika kejadian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali yang menziarahi mangsa menyumbangkan derma peribadi di samping berjanji akan membantu mengatasi masalah keluarga itu.
No comments:
Post a Comment