Sinar Harian sendiri banyak menerima ucapan tahniah daripada masyarakat di sini sama ada daripada agensi awam dan swasta mahupun orang perseorangan sempena pelantikan berkenaan.
Masyarakat di sini berasa bangga dengan pelantikan itu dan ia dilihat mampu mengubah sikap golongan belia di daerah ini.
Pengerusi Geng Terengganu kawasan Kemaman, Zubaidah Sulaiman, 43, berkata, usaha memantapkan jati diri golongan belia dengan sahsiah terpuji mampu dilakukan dengan berkesan khususnya melalui pelantikan Ahmad Shabery sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru.
“Pelantikan itu tepat pada masanya kerana belia di sini perlukan perubahan dan saya percaya beliau mampu melakukannya,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian.
Menurut Zubaidah, persatuan belia di daerah ini wajar mengambil peluang meningkatkan imej persatuan supaya lebih banyak aktiviti bermanfaat dianjurkan untuk golongan belia.
“Secara peribadi saya sudah lama mengenali beliau, iaitu sejak beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen Kemaman dan Menteri Penerangan.
“Saya perhatikan beliau bersikap terbuka dengan golongan belia sejak dahulu lagi,” katanya.
Pengerusi Persatuan Seni Silat Seri Bandi, Shamsudin Hussin, 50, pula mengharapkan beliau mampu memartabatkan imej sukan silat hingga ke tahap antarabangsa.
“Saya merasakan sudah sampai masanya imej sukan silat diubah dan dikomersialkan.
“Sebagai salah satu sukan lasak, imej sukan ini mampu menarik lebih ramai golongan belia untuk menyertainya,” katanya.
Menurut Shamsudin, beliau mampu menjulang sukan silat demi menaikkan imej golongan belia di daerah ini.
“Kita tidak perlu mengagung-agungkan sukan kungfu, tekwando atau karate kerana ia hanya mendaulatkan orang luar.
“Saya percaya beliau mampu mengubah senario ini demi masa depan lebih baik bagi golongan di sini,” katanya.
No comments:
Post a Comment