Kes pengedaran, penagih dadah meningkat 32 peratus Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, sebanyak 190 kes dilaporkan atau perbezaan 32 peratus daripada tahun lepas.
Menurut Roslan, bagaimanapun bilangan mereka yang ditahan didapati menurun iaitu 805 orang berbanding tahun lalu iaitu seramai 870 orang.
“Penurunan itu mungkin kerana kita sasar tangkapan pengedar dadah tahun ini manakala penagih, kita serahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya kepada pemberita, semalam.
Menurutnya, paling membimbangkan, dalam tempoh dua hari, pihaknya dapat menangkap kira-kira 100 pengedar dan penagih dadah di seluruh negeri ini.
Katanya, daripada statistik berkenaan, jumlah pengedar terlibat adalah seramai 12 orang berbanding lapan orang tahun lalu dan Dungun mencatatkan jumlah paling ramai pengedar iaitu empat orang yang dikesan dalam tempoh seminggu.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya (ADB), kita mempunyai sebanyak empat kes termasuk ganja manakala Seksyen 3 (1) ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) pula lapan orang,” katanya.
Selain itu, katanya, penglibatan kes melibatkan dadah jenis ganja dan pil kuda banyak berlaku di negeri ini sambil memberitahu kes melibatkan air ketum juga meningkat iaitu 241 liter berbanding 74 liter tahun lalu yang disahkan diperoleh dari Pahang dan Kelantan. - Sinar
No comments:
Post a Comment