Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7 malam itu, mangsa dipercayai dirogol suspek berumur 24 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, sebelum kejadian, mangsa diminta ibunya pergi ke kedai tidak jauh dari rumahnya untuk membeli lampin pakai buang adiknya.
Katanya, ketika dalam perjalanan pulang dari kedai itu, mangsa melalui rumah sewa pekerja yang didiami suspek, sebelum lelaki terbabit bertindak menarik tangan mangsa ke dalam rumah lalu merogol mangsa.
“Rumah sewa suspek terletak di antara rumah mangsa dengan kedai berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Kamaruddin, kejadian itu disedari ibu mangsa apabila kanak-kanak perempuan itu pulang ke rumah dalam keadaan menangis.
Beliau berkata, melihat keadaan itu ibu mangsa kemudian bertanya anaknya apa yang berlaku, sebelum kanak-kanak itu memaklumkan dia telah dirogol seorang lelaki Indonesia.
“Ibu mangsa memaklumkan kejadian itu kepada suaminya, sebelum membuat laporan di Balai Polis Jertih,” katanya.
Berikutan kejadian itu, polis menahan suspek yang mempunyai pas kerja yang sah pada hari sama di rumahnya dan kini masih ditahan untuk siasatan lanjut sementara dituduh di Mahkamah Majistret, di sini.
Menurut Kamaruddin, kanak-kanak malang itu dihantar menjalani pemeriksaan doktor dan hasil pemeriksaan mengesahkan ada kesan kemasukan pada kemaluan mangsa.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat,” katanya.
No comments:
Post a Comment