Monday, May 18, 2009

Tiga beranak ditahan proses daun ketum

Tiga beranak ditahan proses daun ketum

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki yang tidak pernah serik melakukan kegiatan pemprosesan dan pengedaran daun ketum ditahan polis buat kali ketujuh di bawah Akta Racun dalam dua serbuan, kelmarin.

Lelaki berusia 44 tahun yang dikatakan sebagai ‘master mind’ dalam kegiatan tidak bermoral itu ditahan bersama isterinya yang berusia 39 tahun dan seorang anak berusia 25 tahun serta dua supek lain merupakan pekerjanya di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Jelapang, Sungai Lerek, Setiu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid berkata, dalam serbuan yang diketuai Inspektor Azizan Aziz dan Inspektor Shahrul Effendy Mohammad Rahim, seba-nyak 50 kilogram daun ketum bernilai lebih RM2,000 berjaya dirampas dipercayai untuk diedarkan di Setiu.

“Jumlah anggaran berat rampasan adalah 232 liter termasuk 416 paket disyaki air ketum, dengan jumlah berat daun ketum 50 kilogram termasuk daun ketum yang telah direbus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di rumah tidak bernombor pada jam 4.15 petang pada hari kejadian, pihaknya menemui peti ais besar satu pintu dengan sejumlah 96 bungkus plastik lut sinar kecil mengandungi cecair kehijauan disyaki dadah.

“Dalam serbuan berkenaan, kita menahan dua lelaki dan perempuan dan salah seorang daripada lelaki terbabit dari Permaisuri dipercayai ketua kepada operasi pengeluaran dan pengedaran daun ketum.

“Suspek pernah terlibat dalam enam kes yang sama sebelum ini tetapi di tempat operasi berlainan iaitu satu kes telah dijatuhi hukuman, dua kes sudah diputuskan manakala tiga kes lagi masih dalam siasatan. Lelaki terbabit turut terlibat dengan kes Seksyen 6 (2) Akta Dadah berbahaya kerana memiliki ganja,” katanya.

Dalam serbuan pertama, pihaknya turut merampas dapur dan tong gas, mesin pengisar dan alat penimbang selain 48 liter air termasuk 96 paket plastik disyaki air ketum.

Hasil tangkapan, pihaknya melakukan satu lagi serbuan di sebuah rumah rakit terapung di kawasan kelapa sawit Kampung Jelapang, Setiu kira-kira enam kilometer dari lokasi sebelumnya dan berjaya menahan dua lelaki dipercayai pekerja berumur 29 dan 18 tahun.

Katanya, polis turut merampas peralatan digunakan untuk proses air ketum antaranya dua buah dapur, dua tungku kaki tiga, empat tong gas, tiga periuk besar, tiga bakul plastik, bekas ais, dua bekas plastik, lima paket plastik, jag air dan penapis.

Katanya, isteri lelaki berkenaan diberi jaminan polis manakala empat lagi direman bermula pagi semalam.

Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai penduduk tempatan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta racun 1952 yang boleh didenda sehingga RM10,000 sehingga RM30,000 sekiranya sabit kesalahan.- Sinar

No comments:

Post a Comment