Tuesday, May 5, 2009

Remaja ditahan ketika lerai komponen motosikal curi

PULAU SERAI – Keseronokan seorang remaja yang baru pulang ke rumahnya selepas melakukan jenayah curi motosikal tiba-tiba bertukar cemas apabila kepulangannya disambut sepasukan polis yang bersedia untuk memberkasnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, suspek terbabit yang berusia 20-an itu dikatakan baru pulang ke rumah selepas dipercayai mencuri sebuah motosikal di Jerangau.

“Sebaik suspek masuk ke dalam rumah dan mula meleraikan motosikal terbabit, sepasukan anggota polis diketuai Inspektor Prem Kumar terus menyerbu rumahnya serta berjaya menahan suspek yang kelihatan terkejut dengan kehadiran pihak polis.

“Hasil soal siasat ke atas suspek, dia dikatakan telah mengaku mencuri motosikal terbabit dan bertindak meleraikan komponen motosikal untuk dijual, selain turut terlibat dalam beberapa kes kecurian motosikal di tempat lain,” katanya.

Menurut Ismail, hasil soal siasat ke atas suspek juga membawa kepada penemuan semula dua buah motosikal yang dipercayai turut dicurinya di sekitar Dungun.

“Selepas mendapat maklumat berkenaan, anggota kita telah pergi ke Sungai Pimpin, lokasi yang dikatakan tempat suspek menyembunyikan motosikal dicurinya itu.

“Selepas menyelam ke dasar sungai, kami berjaya menemui dua rangka motosikal jenis Honda EX 5 yang dipercayai dicurinya di sekitar Dungun sekitar Disember 2008 dan Mac 2009,” katanya.

Menurut Ismail, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya suspek yang menjadi dalang utama aktiviti berkenaan, kami percaya dapat melumpuhkan sebahagian daripada aktiviti jenayah berkaitan.

“Usaha juga terus giat dilakukan untuk memburu suspek yang masih bebas dan dipercayai terbabit dengan kes kecurian sama,” katanya.- Sinar

No comments:

Post a Comment