Tiga pelajar dakwa dipukul guru
NOORSYAFINA Sulong (kanan) memegang laporan polis manakala Zurnie Anissa Setapa (tengah) melakonkan semula bagaimana Nur Syakira Roslan Afendi dipukul di tengkuk di Kampung Kubang Ikan, semalam.
KUALA TERENGGANU 1 Mei - Gara-gara dituduh tidak memberi perhatian dalam kelas, tiga pelajar perempuan berusia 17 tahun sebuah sekolah menengah di Chendering di sini mendakwa dipukul oleh guru di kepala dan leher, semalam.
Akibat 'hukuman' oleh guru lelaki itu, seorang daripada mereka, Nur Syakira Roslan Afendi pening kepala dan pitam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, Nur Syakira mendakwa guru berkenaan menghampirinya dan menuduh dia tidak mencatat apa yang disampaikannya.
"Selepas saya menjawab ada membuat nota itu, cikgu memukul saya dua kali di kepala serta sekali di leher dan tangan.
"Kepala saya terasa pening dan telinga menjadi berdengung akibat pukulan itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Ikan di sini hari ini.
Rakan sekelasnya, Noorsyafina Sulong pula mendakwa, dia dan Zurnie Anissa Setapa turut dipukul di tangan dan kepala oleh guru berkenaan selepas Nur Syakira dipukul.
"Guru itu menuduh kami tidak memberi perhatian dalam kelas kerana saya pergi meminta nota daripada Nur Syakira.
"Kami bertindak memarahi guru berkenaan kerana dia melemparkan senyuman selepas memukul dan menuduh kami tanpa sebab," katanya.
Noorsyafina berkata, mereka hanya dibenarkan menelefon keluarga masing-masing kira-kira pukul 2 petang iaitu tiga jam selepas kejadian itu berlaku untuk membawa mereka pulang.
"Guru itu juga hanya membenarkan kami menghubungi keluarga selepas Nur Syakira masih pucat dan tidak berdaya untuk berjalan pulang," ujarnya.
Dalam pada itu, bapa Nursyakira, Roslan Afendi Aziz, 38, berkata, dia kemudian membawa ketiga-tiga pelajar tersebut membuat laporan di Balai Polis Chendering kira-kira pukul 4 petang hari yang sama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong ketika dihubungi berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kejadian itu.
Utusan
Sunday, May 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment