Monday, May 18, 2009

Makmal terapung proses air ketum


Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Kelicikan seorang lelaki bersama tiga ahli keluarganya memproses air ketum dengan mendirikan makmal terapung di Sungai Lerek, Setiu secara rahsia terbongkar apabila kegiatan mereka dihidu polis kira-kira jam 5 petang kelmarin.

Makmal dalam ladang sawit yang terletak enam kilometer dari kediaman mereka di Kampung Jelapang Setiu itu dibina bagi mengelak dikesan pihak berkuasa berikutan kegiatan mereka sebelum ini pernah diserbu.

Pendapatan lumayan melebihi RM15,000 sebulan hasil perniagaan itu menyebabkan ‘usahawan’ berusia 44 tahun dan ahli keluarganya tidak pernah serik walaupun sudah enam kali ditahan kerana terbabit menjalankan kegiatan sama sejak tiga tahun lalu.

Walaupun berdepan dengan enam kes yang disiasat mengikut Akta Racun 1952, purata jualan air ketum yang mencecah hingga RM2,000 sehari tidak menjadi beban kepada bapa enam anak berusia antara 12 hingga 23 tahun itu untuk melangsaikan denda dikenakan.

Selain Akta Racun, lelaki yang menjadi perancang kegiatan itu pernah ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya kerana memasukkan dadah dalam badan serta Seksyen 6(2)(d) Akta Penagihan Dadah.

Lebih menjijikkan, lelaki itu didakwa menjadikan air sungai yang dipenuhi najis haiwan dan kotoran lain sebagai bahan utama menyediakan minuman itu yang dijual pada harga RM2 sebungkus.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Roslan Abd Wahid, berkata serbuan terhadap makmal air ketum itu dilakukan sepasukan anggotanya diketuai Inspektor Azizan Aziz dan Inspektor Sharul Effendy Mohammad Rahim selepas mendapat maklumat awam.

Menurutnya, makmal memproses air ketum itu ditemui selepas lelaki terbabit ditahan sebaik polis menyerbu rumahnya yang terletak di pinggir jalan utama Kuala Terengganu-Kota Bharu, kira-kira jam 4 petang hari sama.

“Selain lelaki terbabit, turut ditahan isterinya berusia 39 tahun, dua anak lelaki mereka berusia 18 dan 23 tahun serta seorang pekerja berusia 29 tahun.

“Dalam dua serbuan itu, polis merampas 232 liter termasuk 416 bungkusan plastik lutsinar mengandungi air ketum yang disimpan dalam peti sejuk

“Daripada jumlah itu, 320 bungkus plastik air ketum ditemui dalam sungai berkenaan dan polis turut menemui 40 kilogram daun ketum termasuk 25 kilogram yang sudah direbus,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati lelaki terbabit dipercayai memperoleh bekalan daun ketum berkenaan daripada pembekal di Pahang dengan harga pasaran RM40 sekilogram.

Menurutnya, semua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala wanita berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.

No comments:

Post a Comment