Tuesday, May 12, 2009

‘Suami buat surat nikah’

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, yang mendengar perbicaraan permohonan pengesahan akad nikah sepasang suami isteri semalam, dimaklumkan surat nikah pasangan itu dikeluarkan sendiri pengantin lelaki.

Ketika disoal Hakim Shaikh Ahmad Ismail, pemohon, Syahima Edayu Akma Mohd Alwi, 17, memberitahu mahkamah dia mengetahui mengenai surat itu sebelum majlis akad nikah dan menurunkan tanda tangan selepas upacara itu.

Berikut soal jawab Shahima Edayu yang membahasakan dirinya sebagai Ayu dengan Hakim Shaikh Ahmad Ismail.

HAKIM: Siapa buat surat nikah?
AYU: Surat nikah dibuat suami.
HAKIM: Bila?

AYU: Sebelum akad nikah.

HAKIM: Tanda tangan bila?

AYU : Selepas angkat nikah saya turunkan tanda tangan.

HAKIM: Semua nama orang yang tanda tangan dalam surat ada malam itu?

AYU: Ada

HAKIM: Tadi kita ada beritahu suami buat surat nikah, di mana dia taip?

AYU: Suami taip dalam rumah

HAKIM: Kita bernikah pada 14 Januari 2009. Ssebab apa kita nak bernikah?

AYU: Ayu nak lari dari keluarga tak sanggup lagi menanggung perbelanjaan kerana sejak kecil (11 tahun) sayalah yang memberikan perbelanjaan kepada keluarga.

Ketika mendengar penjelasan itu, Shaikh Ahmad terkejut dan tertanya-tanya mengapa dia pula harus menanggung keluarganya sehingga diberitahu wanita berkenaan seorang penyanyi dikir barat dan sudah mempunyai 25 album selain merantau ke seluruh negara mengadakan persembahan.

HAKIM: Apa maksud kita terpaksa menyara keluarga?

AYU: Ayu memberikan wang kepada ibu dan ayah hasil nyanyian dulu ayah menjual ikan, tetapi dia berhenti dan meminta saya menyanyi. Setakat ini saya sudah mengeluarkan 25 album.

HAKIM: Album? Saya tak tahu sangat pasal album ni, tapi ada memaklumkan keluarga hendak kahwin?

AYU: Ada beritahu mak, tapi dia melarang dan memberitahu saya boleh kahwin selepas berusia 20 tahun.

Hakim kemudian bertanyakan mengenai persekolahan pemohon dan dimaklumkan dia hanya hadir ke sekolah separuh daripada kehadiran sepanjang persekolahannya dan akan meminta cuti jika ada persembahan di luar negeri.

Selain Ayu, mahkamah turut memanggil responden, iaitu suaminya, Ahmad Syahrizan Yusof, 29, berasal dari negeri ini yang kemudian mengaku mempunyai seorang isteri dan tiga anak.

Tiga saksi turut dipanggil memberi keterangan bagi membantu mahkamah memutuskan sama ada perkahwinan pasangan itu sah atau sebaliknya dan selepas mendengar semua keterangan, mahkamah memutuskan untuk membuat keputusan Rabu ini pada jam 12 tengah hari.

No comments:

Post a Comment