Gambar penyanyi remaja berkenaan yang dirakamkan selepas persembahan dan disiarkan menerusi ruangan Seni@Terengganu, semalam turut menimbulkan kecaman pembaca akhbar Sinar Harian.
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail ketika diminta mengulas perkara itu berkata, tindakan remaja berkenaan yang memakai pakaian terpampang lambang salib, menunjukkan dia mengagung-agungkan agama Kristian, sedangkan dia adalah remaja Islam.
Menurut Shaikh Harun, perkara itu berlaku mungkin disebabkan cetek ilmu agama menyebabkan remaja pada masa kini tidak segan silu memakai pakaian yang mempunyai simbol atau tulisan tidak difahami, sedangkan perbuatan itu boleh menghina agama atau mengaibkan diri sendiri.
“Apa yang kita lihat pada masa kini, terlalu ramai remaja gemar memakai baju yang mempunyai simbol tidak difahami, seolah-olah ia seperti menjadi ‘trend’ kepada golongan berkenaan.
“Perkara ini amat membimbangkan kerana remaja Melayu terlalu mudah dipengaruhi gaya Barat, justeru, kita perlu bendung segera kerana perkara negatif seperti ini kini semakin mempengaruhi remaja secara psikologi,” katanya.
Shaikh Harun berharap ibu bapa harus mengambil berat dan memantau pakaian yang menjadi kegemaran anak tanpa mempercayai mereka seratus peratus.
“Selain itu, pemilihan kawan amat penting kerana kawan adalah orang yang dapat mempengaruhi kita, oleh itu, remaja dinasihatkan supaya memilih kawan yang mempunyai ilmu dan akhlak terpuji.
“Kita tidak mahu, remaja terus hanyut dan terpengaruh dengan budaya Barat, sedangkan mereka akan menjadi pemimpin negara satu hari nanti,” katanya.
Imam Masjid Ladang, Kuala Terengganu, Mohd Faiz Azmi Abdul Kadir pula berharap, semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi mengatasi masalah berkenaan berikutan terdapat pelbagai gaya menjadi kesukaan remaja ketika ini.
No comments:
Post a Comment