Tuesday, May 26, 2009

Pantau aktiviti anak di kafe siber

KUALA TERENGGANU 25 Mei - Ibu bapa diminta memantau aktiviti anak di kafe siber ekoran penangkapan seorang pemilik kafe dipercayai membuat salinan dan menjual filem lucah kepada pengunjungnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan di kafe siber di Bukit Payong, Marang pada 6 Mei lalu.

Ekoran itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pekerja kafe siber tersebut turut ditahan.

Menurut beliau, serbuan dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat daripada orang awam.

"Pemilik kafe itu ditahan membuat salinan filem lucah ke cakera padat di kafe siber berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis merampas tujuh cakera keras mudah alih, beberapa peralatan komputer dan satu cakera padat dalam serbuan tersebut.

"Berdasarkan siasatan, pemilik kafe siber berkenaan menjual filem lucah kepada para pengunjung kafe tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja.

"Filem-filem lucah yang disalin ke cakera padat itu dijual dengan harga RM5 setiap satu," katanya.

Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 5 (1)(a) Akta Penapisan Filem 2002.

"Polis juga kini menjalankan siasatan ke atas kafe siber lain bagi membendung kegiatan jenayah tersebut," katanya.

Justeru, katanya, ibu bapa juga perlu memantau aktiviti anak-anak mereka ke kafe siber bagi mengelak terjebak dalam kegiatan membeli filem lucah.

No comments:

Post a Comment