Tuesday, May 12, 2009

Gara-gara RM2, penagih sanggup ugut cederakan ibu

Gara-gara RM2, penagih sanggup ugut cederakan ibu

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana inginkan wang sebanyak RM2, seorang penagih sanggup mengugut untuk mencederakan ibunya sendiri dengan pisau dalam satu kejadian di Kampung Gong Kijang, di sini.

Perbuatan jahat suspek berumur 33 tahun berlaku pada jam 10 pagi ketika berada di rumah bersama ibu dan kakaknya sebelum bertindak meminta wang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II Terengganu, Superintendan K Manoharan berkata, bagaimanapun berikutan sikap suspek yang sering sahaja meminta wang, ibunya enggan memberikan duit sehingga menimbulkan kemarahannya.

“Tidak puas hati dengan ibunya yang tidak mahu memenuhi kehendaknya, suspek tiba-tiba mengamuk lalu mengacukan pisau terhadap mangsa mengugut untuk mencederakannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di pejabatnya, semalam.

Menurut Manoharan, selepas ibu suspek tetap berkeras tidak mahu menyerahkan wang yang diminta walaupun beberapa kali diugut, suspek akhirnya mengalah dan melarikan diri, sementara mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Suspek sebelum ini pernah beberapa kali mengambil wang anggota keluarganya, selain mencuri pelbagai barang di rumah untuk dijual semata-mata mahu mendapatkan wang dipercayai membeli dadah.

“Akibat tidak tahan dengan sikap suspek, selain bimbang keselamatan keluarga, abang suspek berumur 34 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 9 malam,” katanya.

Menurut Manoharan, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan polis masih berusaha mengesan suspek untuk membantu siasatan.- Sinar Harian

No comments:

Post a Comment